Tuesday, November 2, 2010

Tika hati berkecamuk

Di permukaan asing ini aku menulis lagi
Tika hati dirundung kecamuk
Mendamba kasih tiada berpunca
Mengharap harapan tiada berusaha
Aku hanya mahu meluahkan
Segala beban yang nmembebani minda terhadku
Semata memberi sedikit ruang
Agar hatiku tidak kecamuk lagi
Agar mindaku boleh berfungsi lebih produktif

Bukan senang mahu jadi manusia
Menggalas amanah Tuhan memakmur bumi
Masakan tidak kalau langit luas paling awal mengalah
Kalau gunung kukuh juga menolak?
Namun ia bukan alasan untuk manusia jadi pengecut
Mengharap tuah dari Yang Kuasa
Menagih rezeki dari Maha Pemurah
Sedang amanah dibiar ibarat sampah
Malu

Aku memanjat kesyukuran tidak terhingga kepada Pencipta
Lahirku sebagai manusia
Punya akal anugerah berharga
Punya anggota kamil sebagai wadah ibadah
Biarpun ramai manusia tidak mahu jadi manusia
Membuntuti nafsu laksana haiwan
Mementingkan perut tanpa hirau kawan-kawan
Sedang haiwan pandai berkawan
Tidak segankah manusia jika manusia lebih haiwan dari haiwan?

Di benua gersang ini aku nukilkan puisi lagi
Tika hati masih belum lekang kecamuk
Berfikir tentang diri.masa depan dan juga pengharapan
Semata-mata untuk minda kembali menghitung diri
Adakah masih berteguh di jalan keizzahan
Atau sudah goyah diganggu nafsu amarah dibisik syaitan

Aku hanya mampu menjadi baik kalaupun bukan terbaik
Kerana sedar diri ini bukan kamil
Diri ini juga masih haus dahagakan pengalaman
Walau sudah menyeberang benua
Aku masih mentah
Ilmuku masih rendah
Imanku masih terumbang-ambing

Bukan senang mahu jadi pelazim ilmu
Kerana dibahu tergalas amanah
Ilmu di dada bukan khazanah untuk disimpan
Bukan juga harta untuk mengaut untung berkoyan-koyan
Tapi sebagai wadah untuk menjadi muslim beriman
Bukan untuk diri sendiri
Malah buat pedoman kawan-kawan
Kerana manusia tidak betah hidup tanpa teman
Sedang haiwan hidup berkumpulan
Kelebihan manusia hanya pada fikiran....

Aku merafak tahmid kepadaMu Tuhan
Kerana aku masih berjuang atas landasan keilmuan
Berbicara tentang hari ini dan masa depan
Hal-hal manusia hari ini di dunia penuh keseronokan
Serta natijah mereka masa depan di akhirat dihujani persoalan
Tentang kehidupan juga amalan
Adakah terjawab dengan tenang ataupun terhalang lisan
Sambil diganti anggota kaki dan tangan
Sebagai saksi kepada perlakuan

Di saat udara masih membeku
Aku mencatat lagi
Tika hati berkecamuk itu dan ini
Hanya untuk menyuntik sedikit semangat
Agar diri ini betah untuk ke hadapan
Dipandu akal yang tidak terseleweng
Berdusturkan wasiat Rasul pemberi bayan

-Cinta & Rona Kinanah-

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
'Allahu ma'i...Allahu naadhiri...Allahu syaahidi!'

senaman mulut